SUDAHKAH ANDA MENUNAIKAN SOLAT?

Friday, July 10, 2009

Masjid Kami - Part 3 : Strategi Meningkatkan Pendapatan Masjid

Setelah mengadakan beberapa perbincangan dengan rakan lajnah ekonomi, juga pandangan sahabat-sahabat, saya dapat merumuskan beberapa cadangan strategi kami untuk meningkatkan pendapatan Masjid.

Ini adalah cadangan sahaja dan akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Masjid dalam masa terdekat ini untuk dibincangkan dan diperhalusi. Saya kongsikan di sini semoga ia sedikit sebanyak boleh memberi manfaat juga kepada masjid-masjid lainnya. Kita cambahkan perkongsian ilmu dan pandangan.


Strategi Meningkatkan Pendapatan Masjid

1) Menjual Iklan Dalam Buletin Masjid, Pemidang Iklan dan Laman Web
Menawarkan ruangan iklan dalam Buletin Masjid (yang dikeluarkan 2 minggu sekali), Pemidang Iklan di pagar Masjid, dan dalam Laman Web Masjid kepada syarikat/ firma/ usahawan Muslim untuk mengiklankan perkhidmatan/produk.

2) Kutipan Tabung Masjid
- Mengedarkan tabung masjid ketika Kuliah/ Ceramah/ Seminar dijalankan.
- Strategi kutipan Hari Jumaat – Menambah bilangan tabung kutipan, meletakkan tabung kutipan di Pintu Masuk Utama, meletakkan tag yang jelas contohnya “Tabung Masjid”.
- Mengadakan Mesin e-Derma di Pintu Masuk Utama (Contoh seperti di Masjid Kg Baru, KL)
- Menggalakkan sumbangan melalui Pindahan Kredit (Credit Transfer) oleh penderma dengan memaparkan nombor akaun bank Masjid di Buletin Masjid, Papan Kenyataan, Papan Iklan Masjid, Letter Head, Laman Blog/Web Masjid.

3) Penajaan Program/ Perbelanjaan Tetap Masjid
Menawarkan kepada individu/ syarikat untuk menaja Program-program Masjid dan perbelanjaan tetap Masjid (seperti perbelanjaan penyelenggaraan, elektrik, air dll) secara bulanan/ tahunan. Tawaran Penajaan akan disampaikan melalui papan iklan masjid, Laman Web Masjid dan surat Masjid kepada prospek di kalangan syarikat swasta.

4) Penajaan Pembelian Peralatan/Aset Masjid
Menawarkan kepada individu/ syarikat untuk menaja pembelian peralatan/aset Masjid. Tawaran Penajaan akan disampaikan melalui papan iklan masjid, Laman Web Masjid dan surat Masjid kepada prospek di kalangan syarikat swasta.

5) Permohonan Peruntukan Bantuan
Memohon peruntukan bantuan dari Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Majlis Perbandaran, Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pusat Zakat Negeri.

6) Pelaburan Dalam Akaun Mudharabah
Melaburkan sebahagian lebihan tunai ke dalam Akaun Mudharabah (cth: buka akaun di Bank Islam) bagi mendapatkan keuntungan perkongsian Mudharabah.

7) Sewaan Dewan Kuliah
Menawarkan penyewaan Dewan Kuliah kepada syarikat/firma untuk aktiviti seminar/ kursus.

8) Sewaan Menara Pencawang Telekomunikasi
Mengkaji kebarangkalian usahasama untuk membina/ memasang pencawang telekomunikasi bagi tujuan sewaan kepada syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan Digi.

9) Sewaan Tapak Majlis Perkahwinan
Menawarkan penyewaan tapak untuk Majlis Perkahwinan di lokasi Letak Kereta.

Sekiranya tuan/puan ada cadangan lain, silalah kongsikan dengan kami di : abuhazmy@gmail.com

Monday, July 6, 2009

Saringan H1N1 Dan Cuti Seminggu Lagi!

Saya ke HKL pagi ini untuk saringan H1N1. Ini adalah arahan majikan saya. Sekembalinya dari Jeddah, Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang simptom H1N1 ini.

Setelah tiba dipusat tersebut, saya menyuakan Kad Pengenalan. Tidak lama kemudian, seorang jururawat memaklumkan saya bahawa sekiranya saya tidak mengalami sebarang simptom dalam tempoh 7 hari, maka saya tidak perlu menjalani saringan.

Saya pun terus memaklumkan kepada Jabatan Sumber Manusia berkenaan perkara ini. Dan saya diberitahu bahawa saya dimestikan mengambil cuti 7 hari. Hah, 7 hari!.

Mungkin ada hikmahnya. 11 Julai 2009 ini saya akan menduduki Exam Paper 5 CCP di Universiti Malaya. Mungkin Allah bagi peluang saya untuk 'study'. Alhamdulillah.

Sempat juga saya tadi ke pejabat peguam di Jalan TAR untuk tandatangan dokumen urusan pembelian rumah baru saya. Alhamdulillah, semua ok. Sekarang menunggu untuk kelulusan Pejabat Tanah Gombak untuk 'Consent to Charge'. Semoga Allah permudahkan.

Pengalaman Pertama Kali Mengucup Hajarul Aswad

Malam Jumaat bertarikh 25 Jun 2009, selepas Solat Isyak saya mengambil keputusan untuk membuat pusingan bagi merapatkan diri hampir dengan Hajarul Aswad. Hasrat untuk mengucup Hajarul Aswad malam itu bukanlah agenda saya. Tapi, melihat jemaah lain berpusu-pusu, timbul pula keinginan dalam diri saya.

Saya lihat ramai sekali jemaah yang berhimpit-himpit untuk mengucupnya. Saya lihat keadaan semakin gawat apabila kedudukan saya semakin hampir lebih kurang sedepa darinya. Di kala mereka ada yang siku menyiku, tolak menolak, saya hanya mematikan diri. Ada segelintir yang yang bertindak kasar dan terlalu mementingkan diri. Astaghfirullah!.

Saya ingat pesanan dalam buku Travelog Haji, sebuah Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud: "Pada hari Kiamat kelak, batu (Hajar Aswad) ini akan datang dengan sepasang mata yang dapat melihat dan sebuah lisan yang berbicara, untuk memberikan kesaksian bagi orang-orang yang pernah menyentuhnya secara hak (benar)".

Setelah bergelut dalam kesesakan itu selama hampir 10 minit. Saya akhirnya mengalah dan keluar dari kelompok itu. Dalam hati saya berkata: "Ya Allah, berilah aku peluang. Esok aku akan cuba lagi!".

Esoknya, pada hari Jumaat, selepas solat Subuh, saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah izinkanlah aku mengucup Hajarul Aswad pagi ini. Permudahkanlah urusanku ya Allah! Permudahkanlah!".

Saya mengambil langkah dengan tenang, tiada apa yang perlu membuatkan saya gopoh dan tergesa-gesa. Saya bertawakkal kepada Allah. Saya mengambil kaedah laluan XYZ (laluan dari arah depan pintu Ka'abah) seperti yang disarankan dalam buku Travelog Haji (oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim).

Saya membiarkan diri saya dihimpit dan ditolak. Saya hanya membaca selawat sahaja sepanjang proses ini. Saya lihat keadaan tidaklah segawat seperti mana selepas solat Isyak semalamnya. Saya dapati diri saya ditolak-tolak lalu semakin hampir ke muka bekas Hajarul Aswad itu. Apabila sudah hampir kadar sejengkal, saya cuba menghulurkan muka saya, namun, badan saya tertolak semula ke belakang. Terdetik dalam hati saya, Ya Allah, tolonglah aku!.

Selang beberapa saat, gelombang tolakan beralih arah membawa saya semula ke muka bekas Hajarul Aswad itu. Detik penting itu, dengan tenang saya menyuakan muka saya dan terus mengucupnya dengan penuh kesyukuran, tanpa ada apa halangan. SubhanAllah! saya berjaya mengucupnya!. Tidak sampai 10 minit, sama seperti yang diceritakan dalam buku Travelog Haji.

Bergenang-genang air mata saya. Saya terus memberi isyarat untuk keluar dari kelompok itu. Alhamdulillah!, saya bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doa saya dan berasa sungguh puas dan berasa nikmat sekali. Segala puji bagi Allah.

Saya berasa sungguh segar pagi itu, dan saya lihat jam berhampiran ia menunjukkan tepat pukul 6.00 pagi. Peristiwa pagi Subuh ini pastinya adalah saat yang terindah dalam hidup saya.

Baitullah, Ku Pasti Kan Kembali Lagi!

Ya Allah! Izinkanlah aku kembali lagi ke daerah ini!

(Suasana di sekitar Ka'abah pada 26 Jun 2009, pukul 1.18 tengahari. Suhu mencecah 45 darjah celcius)

(Di luar pintu Masjidil Haram)

Friday, June 19, 2009

Panggilan Umrah

Alhamdulillah,

InsyaAllah saya bersama ibu saya akan menjalankan ibadah Umrah minggu hadapan. Alhamdulillah, inilah yang saya cita-citakan selama ini. Bila dengar sahabat dan saudara yang pergi menunaikan haji dan umrah, saya berasa terpanggil.

Azam ini terus membara dan saya selalu berdoa agar dapat sampai ke sana. Berdoa semoga Allah memberikan jalan dan rezeki pemberian-Nya dari sumber yang tidak disangka-sangka. Alhamdulillah, Allah memberikan jalan-Nya. Saya bersama ibu saya akan bertolak pada 22 jun 2009 (Isnin). Segala puji bagi Allah!.

Maafkan saya dan doakanlah agar urusan kami dipermudahkan, agar kami mendapat Umrah yang mabrur.

Masjid Kami - Part 2 : Apa Cara Untuk Meningkatkan Pendapatan Masjid?

Malam tadi saya balik dari mesyuarat AJK Kariah masjid pukul 12 malam. Mesyuarat bermula 9.30 malam, lepas jamuan nasi lemak malam Jumaat. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Nazir yang baru.

Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan lancar dan baik sekali. Mesyuarat tertumpu pada pembentukan Lujnah baru. Saya di bahagian Lujnah Ekonomi. Hmm, bila bercerita tentang meningkatkan jualan dan mengurangkan kos bagi syarikat, saya fikir lebih mudah, tapi bila tentang Masjid agak janggal, tak biasa. Namun suatu yang baru dan menarik!.

Persoalannya ialah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan masjid dan pada masa yang sama mengurangkan kos perbelanjaan masjid. Tadi semasa berjalan ke Masjid untuk solat Jumaat, saya sempat bertanya dengan sahabat saya Azlan ahli ekonomi, apa yang boleh kami lakukan. Nampaknya belum ada jawapan, sebab kami seronok cerita pasal ibadah Umrah.

Saya berharap sangat bantuan dari teman-teman yang boleh memberikan idea untuk saya membantu masjid kami ini.

Saturday, June 13, 2009

Kenangan Terindah: Ija, Emi & Alim 1985

Posing depan rumah, baru lepas balik sekolah ngaji SRA Bukit Bangkong.
Dari kiri: Ija, Emi & Alim

Kenangan Terindah: Kelas Darjah 4 1985 SK Sungai Rawang, Sepang

Pelajar-pelajar kelas Darjah 4 1985 Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sepang bersama guru kelas, Cikgu Sihat @ Cikgu Hilal.


Kenangan Terindah: Tadika Kemas 1980

Persembahan Nasyid Tadika Kemas Kampung Bukit Bangkong murid 6 tahun.
Dari kiri: Alim, Muntaha, Ilham, Zalina, Erni, Norfazilah, Azam (arwah), Norazlina, Miskinah, (lupa nama), Seri Dewi, Amir Husni, Mohd Kahar (Atan)

Kenangan Terindah: Bocah Manjah 1977

Bocah Manjah bersama Mak di anjung Rumah Embah.

Kenangan Terindah : Bak Bak Elang 1980

Posing ini kami panggil Bak Bak Elang, sebab ikut sususan menaik. Kami ambil gambar di kedai foto 'Batu 5' pada 1 September 1980. Tak silap, lepas bergambar ni, kami makan rojak.
Dari kiri: Alim, Ija & Nenek.

Kenangan Terindah: Gambar Keluarga 1978

Hari Raya di Rumah Embah (Hj Seman @ Hj Othman)
Dari Kiri: Nenek, Montel, Bapak, Kakak, Ija, Alim & Mak

Wednesday, June 10, 2009

Debu-debu Dosa

Debu-Debu Dosa

Ke arah mana halanya
Bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia
Bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda
Seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmatNya

Terpedaya pada dunia
Pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala
Mengikut nafsu semata
Membiar syaitan beraja
Di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa

Teguhkanlah iman dalam diri
Moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi
Dan yakin kau akan dirahmati

Harus kau percaya dengan pasti
Dunia tidak kekal abadi
Hanya menguji cekalnya hati
Sebagai khalifah yang sejati

Tak perlu kau meragui
Andai teguh keimananmu
Pasti bahagia menanti
Di akhirat yang abadi


Album : Damai
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com
Lagu : Mustaqim & Putra Aiman (Hijjaz Records)
Lirik : Mustaqim & Putra Aiman (Hijjaz Records)
Susunan Muzik : Firdaus
Penerbit : Munif Ahmad
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

Friday, June 5, 2009

Rancangan Perniagaan Dan Sahabat Lama

Apa kaitannya RP dan sahabat lama? Memang jauh kaitannya, tapi ia berlaku. Ceritanya begini, saya dapat panggilan dari sahabat saya yang telah mendapat perkhidmatan RP saya sebanyak 2 kali. Beliau meminta saya menyediakan RP untuk cawangan baru perniagaan beliau atas nama seorang usahawan baru. Saya kata "Ok bro, no problem. Set je appointment".

Beberapa hari lepas tu, usahawan baru ni pun call saya untuk set appointment. Kat kedai mamak. Saya tegur sorang pak cik, tersengih pak cik tu sambil berkata "Bukan saya". Rupanya 'mamat' ni belum sampai lagi.

5 minit kemudian, 'mamat' ni pun sampai. "Assalamualaikum". On the spot, saya terus kata "Wa'alaikum salam, Eh macam kenal le!". Rupanya dia ni junior saya masa di sekolah menengah dulu. Dah hampir 20 tahun tak jumpa. Kecil saja dunia ni. At last, 60% perbualan kami pasal hal-hal sekolah dulu. Cerita pasal RP selit-selit je.

Sekarang ni saya tengah siapkan RP untuk beliau. Agak 'urgent'. Projek mesti dibuat secepat mungkin untuk secure lokasi tu. Itulah ceritanya.

Masjid Kami - Part 1 : Bermulanya Tugasanku

Semalam mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Masjid lantikan baru. Setelah mendapat perkenan Majlis Agama Islam Negeri. Bermulalah tugas saya sebagai Pemeriksa Kira-kira Masjid. Jawatan yang tidak saya minta, tapi saya diberi. Apa pun saya akan usahakan yang terbaik.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Nazir lebih banyak menyentuh urusan peralihan pentadbiran daripada jawatankuasa lama. Juga suai kenal kepada yang belum menyesuai diri dan belum kenal-mengenal. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Cumanya peralihan sebenar belum dapat dilaksanakan kerana Nazir dan beberapa jawatankuasa lama tidak dapat hadir pada malam itu.

Tugasan saya nampak lebih mudah apabila jawatankuasa lama telah mengambil tindakan atas komen dalam Mesyuarat Agung lepas berkenaan akaun masjid. Akauntan Bertauliah telah pun dilantik bagi mengaudit Laporan Kewangan masjid sejak tahun pertama penubuhan hinggalah tahun 2008. Bendahari baru akan meneruskan kerja-kerja akaun dengan mengambil angka 'Opening Balance' yang telahpun diaudit. Alhamdulillah.

Semoga segalanya berjalan dengan lancar.

Tuesday, June 2, 2009

Sultan Muhammad al-Fateh - Penakluk Konstantinopel



"Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”- Ahli Sejarah Byzantine

Abdul Latip bin Talib
PTS Fortuna
RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-11-5; 9789675136115
Tarikh Terbit: 28 August 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 336 halaman

http://latiptalib.blogspot.com/

Saturday, May 30, 2009

Cinta Suci Abadi - Version 2

Cinta Suci Abadi

Detik itu menginsafkan
Terlalu kerdilnya hamba-Mu ini
Yang tersesat di lembah kepalsuan
Jauh dari liputan rabbani

Sinar cahaya suci itu datang
Namun mengapa sayup dari gapaian!
Aku merangkak dengan penuh juang
Mendamba redha dan keampunan-Mu Tuhan

Kini aku menginsafi
Titis tangis yang sangat bererti
Cinta suci berputik kembali
Mengembalikan ikrar fitrah insani

Tidak kan lagi ku siakan
Kasih sayang-Mu Tuhan
Allah yang Maha Pengasih
Lagi Maha Penyayang

Terima lah taubat ku ini
Agar subur kembali
Kasih sayang sejati
Cinta suci abadi


Abu Hazmy Helmi
Ampang, Selangor
28 Mei 2009 / 3 Jamadil Akhir 1430

Thursday, May 28, 2009

Misteri Solat Subuh - Part 6

Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Barangsiapa menunaikan Solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian solat 2 rakaat, maka baginya pahala seperti haji dan umrah yang ditunaikan dengan sempurna, dengan sempurna, dengan sempurna!".

- Riwayat At-Tirmidzi -


Sumber: Buku bertajuk "Misteri Solat Subuh" oleh Dr Raghib As-Sirjani

Misteri Solat Subuh - Part 5

Diriwayatkan dari Jundab bin Sufyan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Barangsiapa yang menunaikan Solat Subuh maka dia berada dalam jaminan Allah. Maka jangan mencuba Allah membuktikan janjiNya. Barangsiapa membunuh orang yang menunaikan Solat Subuh, Allah akan menuntutnya sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka".

-Riwayat Muslim, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah, lafaz di atas menurut riwayat Ibnu Majah -


Sumber: Buku bertajuk "Misteri Solat Subuh" oleh Dr Raghib As-Sirjani

Tuesday, May 26, 2009

Misteri Solat Subuh - Part 4

Daripada Buraidah Al-Aslami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat".

-Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah-


Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas RA, bahawa ketika Rasulullah SAW keluar untuk melaksanakan Solat Subuh, Baginda berdoa yang bermaksud:-

"Ya Allah, berikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada lisanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya pada penglihatanku. Jadikanlah cahaya di belakangku, cahaya di hadapanku, cahaya di atasku dan cahaya di bawahku. Ya Allah, berikanlah padaku cahaya".

-Riwayat Muslim-


Sumber: Buku bertajuk "Misteri Solat Subuh" oleh Dr Raghib As-Sirjani

Friday, May 22, 2009

Adakah Sama Rata Itu Keadilan?

Saya mendapat e-mail dari seorang sahabat berkenaan kisah ini. Ia dikatakan kisah benar, WAllahu a'lam. Sama-sama kita renung dan fikirkan.

Dalam sebuah majlis, seorang usahawan berbangsa Cina yang juga bergelar Tan Sri sedang ditemuramah oleh seorang wartawan. Duduk berdekatannya adalah 2 orang jurutera, anak beranak berketurunan India yang bekerja dengan syarikat Tan Sri tersebut.

Berikut adalah perbualan mereka,

Tan Sri: Kerajaan perlu bertindak adil dalam pengagihan kek ekonomi negara. Tidak boleh ada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Kontrak antara orang Melayu dan bukan Melayu mesti diberikan sama rata demi keadilan. Lagipun bangsa kami banyak menyumbang kepada kemajuan negara walaupun kami digelar sebagai kaum pendatang. Setelah bersusah payah semenjak sebelum merdeka, maka wajarkah kami dinafikan hak sebagai warganegara. Orang Melayu perlu lebih berkompromi dengan kaum lain untuk maju. Liberalisasi perlu dilaksanakan dengan meluas dalam semua sektor demi mencapai kesamarataan antara kaum.

Wartawan: Tan Sri, boleh saya tahu sudah berapa lama 2 orang jurutera ini bekerja dengan Tan Sri?

Tan Sri: Oh...sudah lama. Praba ni dah bekerja dengan saya hampir 30 tahun sejak syarikat ni ditubuhkan lagi. Malah anaknya pun sekarang bekerja dengan saya lebih 10 tahun. Mereka ini adalah pekerja saya yang paling berdedikasi dan banyak menyumbang kepada kemajuan syarikat.

Wartawan: Kalau begitu, apa kata Tan Sri berikan sebahagian saham syarikat ni kepada mereka berdua. Lagipun mereka sudah lama bekerja dengan Tan Sri, malah banyak menyumbang kepada syarikat sepertimana kata Tan Sri tadi.

Tan Sri: Eh..mana boleh! Ini syarikat saya. Lagipun saya dah bayar gaji yang mahal kepada mereka berdua dan saya tak pernah halang pun jika mereka nak kumpul harta. Mana boleh senang-senang saya nak bagi saham syarikat saya pada mereka.

Wartawan: Macam tu jugalah perasaan Melayu. Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Milik raja-raja Melayu. Lepas tu orang bukan Melayu macam Tan Sri pulak nak mintak hak sama rata dengan alasan kerana telah banyak menyumbang. Tan Sri rasa wajar atau tidak permintaan tu?

Tan Sri: ............ ......... ......... ......... ........

Thursday, May 21, 2009

PELUANG PERNIAGAAN BERSAMA HPA


HPA menawarkan peluang perniagaan yang cukup menarik dan anda pasti mampu menjana pendapatan lumayan melaluinya, InsyaAllah. Produk-produk HPA dipasarkan melalui anak syarikat HPA, Al-Wahida Marketing Sdn Bhd menggunakan kaedah pemasaran berbilang aras (Multi Level Marketing).

Perniagaan MLM HPA telah mendapat pengiktirafan sebagai MLM Syariah daripada Biro Konsultansi Majlis Ulama Indonesia dan HPA juga mempunyai Panel Syariah sendiri yang bertindak memantau segala aktiviti perniagaan HPA dari segi penyediaan produk dan konsep perniagaan yang digunakan. Ahli panel ini terdiri daripada para ahli akademik, pensyarah, professor dan ahli agama.

HPA turut menyediakan kursus keusahawanan dan perawatan herba yang mantap kepada semua ahli untuk melahirkan usahawan yang hebat dan juga perawat yang terlatih. Plan pemasaran HPA yang dirangka mampu memberi pendapatan lumayan dan ianya terbukti dengan lahirnya ramai usahawan HPA dengan pendapatan 4, 5 angka sebulan.
UNTUK PENDAFTARAN AHLI
KLIK LINK DIBAWAH



Wednesday, May 20, 2009

DOA NABI ADAM

"Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".


Rujukan: Buku bertajuk Himpunan Wirid & Doa, susunan Najmuddin Zubair

Sunday, May 17, 2009

Sinoman - Budaya Kerja Kahwin Masyarakat Jawa

Sinoman adalah budaya kerja kahwin yang masih kekal di kampung saya. Ia memupuk semangat kerjasama erat antara penduduk kampung bagi menjayakan kerja-kerja kahwin bagi setiap warga kampung. Ia dimulakan seawal hari Jumaat, jika hari kemuncak majlis perkahwinan diadakan pada hari Ahad. Jiran-jiran dan sanak saudara akan bertambah ramai berkumpul pada hari Sabtu di mana ia adalah hari "Ngesop" iaitu hari menumbangkan lembu dan tetamu dijamu sup lembu.

Tidak kira tua ataupun muda, tenaga dipadu dengan penuh kemesraan dan keceriaan tanpa meminta balasan. Itu sebabnya, anda boleh melihat senyuman di mana-mana, malah yang tiada gigi pun ("Ompong") menyeringai senyum tanpa segan. Ada terdapat pelbagai jabatan akan ditentukan dan salah satunya adalah Jabatan Cuci Pinggan. Ia paling digemari kerana kerja yang agak ringan serta sambil melepas gian bermain buih sabun (haha).

Ini pula jabatan yang paling penting dan memerlukan 'staf' yang paling ramai iaitu Jabatan Rempah & Perisa. Jangan terkejut 'staf' di sini kesemuanya adalah chef-chef yang 'qualified' dengan masakan tradisional Jawa. Dan hanya mereka yang tidak lupa membawa pisau 'ngerajang' sahaja dibenarkan menduduki tempat khas jabatan ini yang dipanggil 'Amben'.

Cuba lihat 'wak' di depan sekali ini, senyumannya sentiasa tersemat walaupun matanya menahan kepedihan ketika mengupas bawang. Di samping khusyuk bekerja, yang paling menyeronokkan adalah isu-isu perbualan mereka. Antara topik yang mungkin kedengaran adalah isu-isu semasa seperti perkembangan politik (JKKK), ekonomi (jualan kerepek dan hasil buah sawit), pendidikan (kemajuan repot kad anak dan belanja di sekolah), saham (saham di pertubuhan peladang) dan pelancungan (kemajuan homestay kampung). : ) Apapun, budaya Sinoman ini amat sinonim dengan kehidupan di kampung saya dan ia adalah antara aktiviti utama yang dapat mengeratkan tali persaudaraan antara sesama penduduk.


Go-Kart - Melepas Gian Merempit!

Dengan kos RM35, anda boleh merempit dengan Go-Kart ini selama 10 minit. Apa? 10 minit saja mana puas bro? Mungkin itulah soalan dari Mat Rempit. Ya, 10 minit anda di atas trek terasa agak lama juga bagi saya. Tapi ia cukup merujakan. Apatah lagi dapat berlumba dengan pelumba-pelumba lain.
Ini adalah jentera-jentera Go-Kart. Nampak kecil dan enjin pun setaraf mesin rumput. Enjin dihidupkan secara manual dengan menarik tali penghidupnya. Kelajuan maksimanya adalah lebih kurang 70 km sejam dengan keupayaan enjin 80 cc. Ada juga yang 100 cc, sewanya mahal sedikit, tak silap saya RM50 untuk 10 minit.

Trek Go-Kart ini bersebelahan dengan Stadium Shah Alam. Ada masa lapang, nak melepas gian merempit boleh le datang ke sini. Semasa sesi latihan, saya dapat berlumba beramai-ramai bersekali dengan Dephane Iking, pengacara TV tu. Bukan main laju dia memecut, rupanya dia pakai yang 100 cc. Cheh.. Ada juga yang dah biasa main, buat perangai nakal, siap boleh korek hidung lagi bila memotong. Memang menyeronokkan!


Melawat Pokok Gaharu Kesayangan

Kesempatan balik kampung baru-baru ini, saya ambil peluang untuk menjenguk progres pokok gaharu saya. Pagi itu, kedatangan kami disambut oleh seekor lembu hensem. Kalau boleh berkata-kata, mungkin ia bersuara "Kabare, waras? Wes sui ora balik yo kang. Kebone nantek semak, ra eneng wong nebas. Sidho di terbas yo". Hehe...

Dah sampai pun kebun kami. Hannani posing depan pokok gaharu yang dah masuk setahun umurnya. Pokok gaharu yang kami tanam berselang dengan pokok kelapa sawit nampak segar dan pandai menyesuaikan diri dengan tanah gambut. Dah namanya pokok hutan, memang tahan lasak.

Saiz ukurlilit batang pokok gaharu kami agak memberangsangkan, hanya mengambil masa setahun sudah sebegini rupa. Mungkin ia berkongsi makan baja pokok kelapa sawit. Dalam masa 5 tahun lagi, mungkin sudah boleh diinokulasi.


Ketinggiannya sudah 2 x ketinggian Hannani yang berumur 7 tahun. Begitu cepat ia membesar berbanding ketika ia mula ditanam, ketinggiannya hanya 2 jengkal saja. Kami hanya ambil masa 15 minit melawat kebun kami ini. Ini kerana cuaca yang agak panas menyucuk. Saya lihat jam baru pukul 10.00 pagi. Cuaca sekarang ini memang agak panas. Tidak seperti 20 tahun dulu, pukul 12.00 tengahari, kami masih boleh berjemur di bawah panas mentari mengait buah kelapa sawit.

Saturday, May 16, 2009

Haji - Tahun 1953

Ambeng Mengeratkan Ikatan Persaudaraan


Budaya orang Jawa yang paling popular adalah Ambeng. Ia adalah nasi dan lauk pauk seperti ayam rendang/kari, mee, serunding kelapa, kacang, gereh (ikan masin). Nampak lauknya simple kan, tapi bila diletakkan dalam satu talam di atas daun pisang, SubhanAllah, ia menyelerakan apatah lagi dijamah beramai-ramai bersama ahli keluarga. Ia juga dipangggil 'Berkat'. Nama pun dah menggambarkan keberkatannya.

Bayangkan, anda akan makan bersama-sama ahli keluarga/saudara/sahabat tidak mengira umur, pangkat dan darjat. Terasa sungguh ikatan kemesraan dan persaudaraan. Ayam sengaja diletak seketul besar yang akan dicuil setiap orang, malah anda boleh menolak-nolak lauk dan nasi kepada rakan yang lain. Ia memupuk budaya tolak-ansur, saling memberi dan membuang jauh perasaan ego dan mementingkan diri.

Bagi saya, sesedap mana masakan yang saya pernah makan, Ambeng tetap nombor satu bagi saya kerana nikmat persaudaraan yang dapat saya kecapi yang begitu bernilai. Kadangkala bila balik kampung, saya pasti ternanti-nanti kenduri Ambeng ni.

Thursday, April 23, 2009

Persaudaraan Muslim - Part 17

Allah telah berfirman, mafhumnya:-

"Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya".

-Surah Toha, ayat ke 82-


Allah telah berfirman, mafhumnya:-

"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu ialah azab yang tidak terperi sakitnya (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)".

-Surah Al-Hijr, ayat ke 49 & 50-


Sumber: Buku Misteri Solat Subuh Oleh Dr Raghib As-Sirjani

Thursday, April 2, 2009

Persaudaraan Muslim - Part 16

Allah telah berfirman, mafhumnya:-

"Apa saja yang kamu infakkan, Allah pasti akan menggantinya, dan Allah adalah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya".

-Surah Saba', ayat ke 39-


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-

"Pada setiap pagi yang dialami oleh hamba Allah, dua Malaikat turun. Yang satu berdoa: 'Ya Allah, berikanlah pengganti kepada hamba-Mu yang berinfak'. Yang satu lagi berdoa: 'Ya Allah, berikanlah kerugian bagi hamba-Mu yang kikir (kedekut)".

-Riwayat Muslim-


Sumber: Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) oleh Imam Al-Ghazali